Monday 14 November 2011

Kebebasan Mutlak Media Baru Akan Membawa Bencana Kerosakan Kepada Keharmonian Sosial


Sering kali kita mendengar bahawa media komunikasi tidak dapat dipisahkan daripada mesej. Ada sesetengah pihak mengatakan untuk memperoleh  mesej yang  telus dan benar, kebebasan diperlukan. Tanpa kebebasan mesej, media komunikasi tidak dapat mencapai matlamat yang dikehendaki. Bagi menjaga kepentingan masyarakat awam dan keselamatan negara, kebebasan media dalam memperoleh mesej dan menyampaikannya perlu bergerak dalam lingkungan undang-undang serta berpegang teguh pada akhlak dan etika yang luhur. Di Malaysia, terdapat beberapa akta yang mengawal kebebasan media seperti berikut:


- Akta Rahsia Rasmi (OSA)
- Akta Hasutan (SA)
- Akta Percetakan dan Penerbitan (PPPA)
- Akta Penyiaran
- Akta BERNAMA
- Perlembagaan Persekutuan

Pada hari ini, kita dapat melihat bagaimana berkembangnya dunia media di mana selain surat khabar, terdapat juga media baru seperti di internet iaitu blog, facebook, twitter, dan lain-lain lagi.  Selain itu, kebebasan media baru ini telah disokong pula dengan tahap kelajuan internet semakin baik melalui Streamyx, WiFi, broadband dan sebagainya. Perkara ini telah menyebabkan bertambah ramai rakyat yang semakin peka dengan perkembangan isu semasa, dasar-dasar kerajaan, dan sebagainya. Senario pada masa kini memperlihatkan banyak maklumat yang disebarkan melalui media baru tersebut  dengan agak bebas dan terbuka. Kebebasan dan keterbukaan tersebut kadangkala menjejaskan kredibiliti dan maruah golongan atau individu tertentu yang sepatutnya dipelihara. Atau mungkin pada satu masa akan mengakibatkan berlakunya pendedahan mengenai kelemahan keselamatan negara kita yang amat perlu dipelihara dan dijaga.
  
Kebiasaannya media komunikasi memerlukan kebebasan, agar sesuatu maklumat atau mesej itu dapat disampaikan kepada umum secara berkesan. Namun realitinya di seluruh dunia kebebasan media dan komunikasi adalah sesuatu yang terlalu ideal dan tidak ada sesebuah negara pun di dunia yang benar-benar memperolehi kebebasan tersebut. Menurut Othman Muhammad, dalam konteks Malaysia, media komunikasi diberi kebebasan untuk berperanan dalam lingkungan undang-undang dan akta yang telah ditetapkan bagi mengelak daripada berlakunya sebarang penyebaran maklumat yang boleh memudaratkan keselamatan atau kestabilan negara. Tetapi baru-baru ini, negara kita telah dikejutkan dengan isu Namewee di mana Namewee seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina telah menyuarakan ketidak puasan hati di dalam YouTube. Namewee telah menyanyikan lagu Negaraku versi sendiri dan memberikan maksud yang buruk. Selain itu, Namewee juga telah mengeluarkan kata-kata kesat semasa pergi ke pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB). Perkara ini telah menyebabkan sensitiviti kaum lain yang terdapat di Malaysia. Isu Namewee telah dibangkit di dalam Parlimen dan telah memberikan impak yang negatif kepada keharmonian sosial.

Namewee




Melalui media baru seperti facebook telah menyebabkan masalah bagi pasangan suami isteri di dalam rumah tangga. Menurut statistik bagi negara luar, satu daripada lima penceraian disebabkan Facebook. Di London pula, Facebook didakwa menjadi punca kepada peningkatan kes penceraian apabila semakin ramai suami atau isteri ditangkap berkelakuan curang dalam laman tersebut. Pengguna yang sudah berkahwin terdedah untuk menipu pasangan mereka apabila berkenalan dengan pengguna lain di dalam laman sosial itu. Media baru ini telah menyebabkan berlakunya ketidak harmonian masyarakat pada masa kini seperti pergaduhan dan fitnah secara terbuka di laman sosial.  



Facebook Punca Penceraian



Menurut mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir, beliau telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia Melangkah ke Hadapan" dan beliau menyatakan bahawa matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Maka, keharmonian sosial merupakan salah satu yang dapat membantu negara mencapai matlamat wawasan 2020. 

Thursday 27 October 2011

Hala Tuju Dunia Siber

Malaysia adalah sebuah negara membangun yang demokratik. Lebih daripada itu, Malaysia juga mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang sukar diintegrasikan. Jika Malaysia ingin maju maka peranan semua pihak haruslah disesuaikan dengan dasar-dasar dan usaha-usaha membangunkan negara. Media merupakan salah satu medium yang perlu diberikan keutamaan di mana media adalah medium yang menyampaikan maklumat kepada pembaca. Media yang terawal di negara ini ialah media cetak iaitu akhbar pertama yang ditubuhkan pada tahun 1806 di Pulau Pinang. Dalam mana-mana negara pun akhbar adalah hanya sebahagian daripada negara berkenaan. Perkara ini memberi maksud bahawa akhbar berfungsi sebagai sebahagian daripada seluruh sistem negara itu. Sebagai contoh, jika negara berkenaan mengamalkan sistem negara demokrasi yang seluruhnya bebas, akhbarnya juga turut terkawal kebebasannya dan ia tidak boleh terasing daripada sistem negara berkenaan.

Saban tahun, negara telah berkembang dengan kemajuan teknologi yang begitu maju. Maka, semakin banyaklah media elektronik seperti dunia siber atau internet wujud. Menurut Dr. Rahmat Ghazali, kesan kebiadaban dunia siber pada hari ini semakin berkembang. Bagi pendapat saya, negara Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkara tersebut. Dengan kemajuan dan dunia yang serba moden, rakyat tidak ketinggalan untuk menerokai ilmu teknologi yang serba canggih itu. Kita dapat melihat bagaimana dunia siber telah banyak memberikan kesan yang baik dan buruk. Kesan ini telah memberikan satu perubahan yang begitu ketara jika dilihat dari sudut subjektif di mana pelbagai kata-kata cacian, fitnah, umpatan dan sebagainya telah cuba dilemparkan bagi melepaskan ketidak puasan hati sesetengah pihak kepada pihak yang lain. Dunia siber ini telah dijadikan tempat sebagai luahan ketidak puasan hati sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menimbulkan unsur fitnah, penipuan, dan sebagainya dan menyebabkan pihak yang lain terpengaruh dan mempercayai khabar-khabar angin yang belum pasti akan kebenarannya.

Menurut surah Al-Isra ayat 73, “Sesungguhnya mereka kaum musyrik hampir-hampir dapat memfitnah engkau tentang apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar engkau memalsukan wahyu Kami itu dengan saduran yang lain, jika berhasil tentulah mereka dapat membuat engkau jadi temannya”.

Kebebasan dunia siber ini samalah dengan lain-lain kebebasan iaitu ia mempunyai had limitnya. Masalahnya ialah menentukan had ini seperti setakat manakah kebebasan ini boleh dibiarkan. Ada sesetengah pihak berkata Kerajaanlah yang perlu menentukan limit ini tetapi yang nyata ialah kita tidak ada cara yang betul-betul berkesan dan kita masih meraba-raba. Penyalahgunaan kuasa kebebasan dunia siber ini diteruskan dengan kesan yang buruk oleh orang awam dan negara yang sedang membangun. Pengaruh dunia siber ini telah memberikan impak yang besar kepada rakyat Malaysia. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pengaruh merupakan alat yang amat penting dalam demokrasi dan apa yang terjadi kepada sesuatu bangsa atau sesuatu negara boleh ditentukan oleh pengaruh. Beliau juga turut menyatakan media mesti diberi kebebasan tetapi kebebasan ini hendaklah dilaksanakan dengan tanggungjawab. Mereka harus diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat yang bebas, sekalipun hak untuk melakukan kesilapan, tetapi mereka mesti berbuat demikian tanpa prasangka dan tanpa niat buruk.