Thursday 27 October 2011

Hala Tuju Dunia Siber

Malaysia adalah sebuah negara membangun yang demokratik. Lebih daripada itu, Malaysia juga mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang sukar diintegrasikan. Jika Malaysia ingin maju maka peranan semua pihak haruslah disesuaikan dengan dasar-dasar dan usaha-usaha membangunkan negara. Media merupakan salah satu medium yang perlu diberikan keutamaan di mana media adalah medium yang menyampaikan maklumat kepada pembaca. Media yang terawal di negara ini ialah media cetak iaitu akhbar pertama yang ditubuhkan pada tahun 1806 di Pulau Pinang. Dalam mana-mana negara pun akhbar adalah hanya sebahagian daripada negara berkenaan. Perkara ini memberi maksud bahawa akhbar berfungsi sebagai sebahagian daripada seluruh sistem negara itu. Sebagai contoh, jika negara berkenaan mengamalkan sistem negara demokrasi yang seluruhnya bebas, akhbarnya juga turut terkawal kebebasannya dan ia tidak boleh terasing daripada sistem negara berkenaan.

Saban tahun, negara telah berkembang dengan kemajuan teknologi yang begitu maju. Maka, semakin banyaklah media elektronik seperti dunia siber atau internet wujud. Menurut Dr. Rahmat Ghazali, kesan kebiadaban dunia siber pada hari ini semakin berkembang. Bagi pendapat saya, negara Malaysia juga tidak terkecuali daripada perkara tersebut. Dengan kemajuan dan dunia yang serba moden, rakyat tidak ketinggalan untuk menerokai ilmu teknologi yang serba canggih itu. Kita dapat melihat bagaimana dunia siber telah banyak memberikan kesan yang baik dan buruk. Kesan ini telah memberikan satu perubahan yang begitu ketara jika dilihat dari sudut subjektif di mana pelbagai kata-kata cacian, fitnah, umpatan dan sebagainya telah cuba dilemparkan bagi melepaskan ketidak puasan hati sesetengah pihak kepada pihak yang lain. Dunia siber ini telah dijadikan tempat sebagai luahan ketidak puasan hati sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah menimbulkan unsur fitnah, penipuan, dan sebagainya dan menyebabkan pihak yang lain terpengaruh dan mempercayai khabar-khabar angin yang belum pasti akan kebenarannya.

Menurut surah Al-Isra ayat 73, “Sesungguhnya mereka kaum musyrik hampir-hampir dapat memfitnah engkau tentang apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar engkau memalsukan wahyu Kami itu dengan saduran yang lain, jika berhasil tentulah mereka dapat membuat engkau jadi temannya”.

Kebebasan dunia siber ini samalah dengan lain-lain kebebasan iaitu ia mempunyai had limitnya. Masalahnya ialah menentukan had ini seperti setakat manakah kebebasan ini boleh dibiarkan. Ada sesetengah pihak berkata Kerajaanlah yang perlu menentukan limit ini tetapi yang nyata ialah kita tidak ada cara yang betul-betul berkesan dan kita masih meraba-raba. Penyalahgunaan kuasa kebebasan dunia siber ini diteruskan dengan kesan yang buruk oleh orang awam dan negara yang sedang membangun. Pengaruh dunia siber ini telah memberikan impak yang besar kepada rakyat Malaysia. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pengaruh merupakan alat yang amat penting dalam demokrasi dan apa yang terjadi kepada sesuatu bangsa atau sesuatu negara boleh ditentukan oleh pengaruh. Beliau juga turut menyatakan media mesti diberi kebebasan tetapi kebebasan ini hendaklah dilaksanakan dengan tanggungjawab. Mereka harus diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat yang bebas, sekalipun hak untuk melakukan kesilapan, tetapi mereka mesti berbuat demikian tanpa prasangka dan tanpa niat buruk.